Harga pelekat RFID: LLM sedia bincang dengan PLUS, Touch ‘n Go

0
2

LEMBAGA Lebuhraya Malaysia (LLM) bersedia mengadakan pertemuan dengan PLUS Malaysia (PLUS) dan Touch ‘n Go untuk membincangkan pengurangan harga pelekat Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

Menurut sumber yang dipetik FMT, kemarahan orang ramai terhadap keupayaan penggunaan RFID ketika ini di samping harganya yang tidak berbaloi menyebabkan kerajaan berusaha meredakannya.

Menurutnya, pelekat RFID berharga RM35 itu tidak boleh dipasang di dalam kereta.

“Ia dilekatkan pada bahagian luar cermin atau lampu hadapan. Masalahnya adalah ia cepat lusuh. Ia boleh rosak selepas kereta dicuci beberapa kali,” kata sumber itu.

Sumber itu juga mengakui perkara tersebut menimbulkan rungutan dalam kalangan pengguna jalan raya berhubung kos untuk beralih kepada penggunaan RFID.

“Idea untuk beralih kepada RFID daripada Touch ‘n Go dan SmartTAG bagus, tetapi semuanya mestilah berjalan lancar.

“Kerajaan telah memberitahu PLUS dan Touch ‘n Go supaya memastikan semua berjalan secara teratur,” katanya.

Semalam, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan pelekat RFID itu dijual dengan harga RM35 sedangkan pelekat itu boleh dibeli secara dalam talian dengan harga RM1.

Najib berkata, harga itu patut dikurangkan kepada RM5 sekiranya ia tidak diberikan secara percuma.

Isnin lalu, berikutan kesesakan teruk di lorong RFID di beberapa plaza tol, Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof meminta Touch ‘n Go dan PLUS mengambil tindakan segera menyelesaikan masalah yang timbul akibat penggunaan sistem pembayaran RFID. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here