SIASATAN terbuka Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) adalah forum terbaik untuk Tan Sri Azam Baki membuktikan dirinya tidak bersalah.
Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin, berkata ketika ini terdapat dua pendapat berbeza berhubung isu itu, iaitu sama ada wajar PSC mengadakan siasatan terbuka terhadap Azam atau sebaliknya.
“Untuk bersikap adil, dari segi undang-undang kedua-dua pendapat itu pada pandangan saya, mempunyai beberapa merit.
“Di pihak saya, saya cenderung untuk percaya bahawa mengadakan siasatan terbuka terhadap Azam akan menjadi satu bentuk pertahanan yang boleh diterima,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Malah, Ahli Jawatankuasa Nasional Amanah itu berpandangan, siasatan terbuka itu akan memberi keuntungan kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu sendiri.
Katanya, ini kerana sejak hari pertama lagi Azam telah mendakwa dirinya tidak bersalah.
“Untuk mengakui kesalahannya dari segi undang-undang seperti tiada dalam radarnya.
“Beliau juga yakin bahawa kebenaran akhirnya akan berada di pihaknya,” katanya.
Menurut Mohamed Hanipa, walau apa sekali pun siasatan terbuka itu akan memberi kelebihan dan satu kepentingan untuk Azam membuktikan dirinya tidak bersalah kepada umum secara lantang dan jelas.
“Siasatan terbuka yang akan diadakan PSC adalah forum terbaik untuk Azam dengan yakin mengisytiharkan dirinya tidak bersalah,” katanya.
Sebelum ini, PSC bagi Agensi-Agensi Bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) meminta Azam hadir ke mesyuarat jawatankuasa itu, hari ini.
Ahli PSC yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin, berkata Azam dipanggil bagi menjelaskan dakwaan pemilikan saham yang dikaitkan dengannya.
Bagaimanapun, Setiausaha Dewan Rakyat, Dr Nizam Mydin Bacha Mydin Isnin lalu memaklumkan penangguhan mesyuarat berkenaan.
Pengerusinya PSC, Abdul Latiff Abdul Rahman memaklumkan, Penangguhan Mesyuarat PSC Bagi Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri yang sepatutnya memanggil Azam Baki hari ini dibuat berikutan isu berbangkit disifatkan agak rumit.
Beliau berkata pihaknya merujuk kepada Pejabat Penasihat Undang-Undang Parlimen berikutan terdapat beberapa isu perundangan yang memerlukan pandangan undang-undang terlebih dahulu. – Malaysiapost

