Bayi kembar lahir dalam bot ambulans di Tasik Banding

0
2

SEPASANG bayi kembar selamat dilahirkan dalam sebuah bot ambulans ketika melalui Tasik Banding untuk ke hospital di Gerik, Perak, Sabtu lalu.

Jabatan Kesihatan Perak dalam laman Facebook memaklumkan, kelahiran bayi kembar berkenaan disambut oleh pegawai perubatan, jururawat masyarakat dan penolong perawatan kesihatan Klinik Pos Kemar.

“Tanggal 15 Januari 2022 merupakan detik bersejarah kepada anggota kesihatan Klinik Pos Kemar.

“Pegawai Perubatan, Jururawat Kesihatan, Jururawat Masyarakat dan Penolong Perawatan Kesihatan berjaya menyambut kelahiran bayi kembar di atas Bot Ambulans di Tasik Banding,” menurut hantaran itu.

Kenyataan itu memaklumkan, wanita berusia 31 tahun itu mengalami sakit bersalin ketika pemeriksaan dilakukan oleh jururawat masyarakat yang membuat lawatan ke rumahnya.

“Dengan tindakan pantas anggota kesihatan, ibu tersebut selamat melahirkan bayi kembar dengan berat 2.4 dan 1.3 kilogram.

“Kesemua mereka dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh bagi menjalani rawatan susulan.

“Moga ibu dan kedua bayinya sihat dan selamat. Terima kasih juga kepada pemandu bot yang bertugas,” katanya.

Menerusi perkongsian sama, Jabatan Kesihatan Perak turut berkongsi dua keping foto termasuk gambar bayi kembar yang baru dilahirkan berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here