Azhan Rani kemalangan, langgar motosikal

0
1
SHAH ALAM 25 MEI 2019. Pelakon, Azhan Rani pada majlis pelancaran animasi Alif dan Sofia di ICity Mall. NSTP/NUR ADIBAH AHMAD IZAM

PELAKON Azhan Rani mengalami kecederaan di beberapa anggota badan selepas terbabit kemalangan motosikal di Jalan Templer, Petaling Jaya, Selangor, semalam.

Azhan dilaporkan menunggang motosikal berkuasa tinggi merempuh sebuah lagi motosikal, menyebabkannya cedera termasuk tulang belikat pecah, tulang bahu dan rusuk retak.

Rakan baik Azhan yang juga pelakon Beto Kusyairy, berkata ketika kejadian Azhan dalam perjalanan ke lokasi penggambaran.

“Alhamdulillah Azhan kini berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur.

“Ketika kejadian Azhan terlebih dahulu dikejarkan ke Hospital Selayang sebelum dipindahkan ke sebuah hospital swasta. Ketika dirawat dia diberikan ubat tahan sakit pada dos yang tinggi kerana menahan kesakitan.

“Setakat ini, apa yang saya dimaklumkan melalui ujian imbasan X-ray yang dijalankan, Azhan mengalami beberapa kecederaan di anggota badan seperti tulang belikat pecah, tulang bahu dan rusuk retak. Kesemua kecederaan yang dialami adalah di bahagian kiri badannya,” katanya memetik Harian Metro.

Menurut Beto, Azhan juga masih menunggu laporan daripada ujian imbasan tomografi berkomputer atau CT Scan untuk mengenal pasti kecederaan lain yang mungkin berlaku terhadapnya.

“Setakat ini saya hanya mampu bercakap melalui telefon saja dengannya kerana pelawat belum boleh dibenarkan masuk kerana Azhan kini masih dalam bilik kuarantin.

“Saya diberitahu Azhan masih menunggu laporan ujian CT Scan yang dijalankan untuk mengetahui kecederaan yang dialami dengan lebih teliti. Harap-harap tiada kecederaan yang teruk berlaku kepadanya.

“Kepada semua sahabat, kenalan dan wartawan yang cuba menghubunginya secara peribadi, Azhan mohon maaf kerana tak dapat nak jawab segala panggilan dan mesej untuk sementara waktu ini. Namun dia tetap menghargai segala perasaan ambil berat ke atas dirinya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here