Isu RFID: PLUS buka semula ruangan komen Facebook

0
1

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bertindak membuka semula ruangan komen di laman Facebook (FB) rasminya sebentar tadi.

Difahamkan, sejak lapan jam lalu, pihak PLUS bertindak menutup ruangan itu selepas menerima kritikan dan luahan ketidakpuasan hati dari pengguna lebuh raya terhadap teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

Justeru, pelayar media sosial hanya boleh memberikan maklum balas ‘like’ dan ‘kongsi’.

PLUS mengumumkan peralihan kepada sistem pembayaran transaksi tol RFID secara berperingkat bermula Sabtu lalu.

Namun sepanjang tiga hari ini, masih terdapat pengguna yang menggunakan pelekat RFID berdepan kesulitan ketika melalui plaza tol.

Sehubungan itu, rata-rata pengguna berharap lorong SmartTag dan Touch n Go tidak tutup bagi menggelakkan kesesakan serta mencadangkan menambahbaikan sistem RFID.

Seorang pengguna, Mohd Khairuddin Ab Samad meminta pihak PLUS tidak menutup lorong SmartTag, kerana ia sangat menyukarkan pengguna sedia ada.

Beliau juga mencadangkan lorong Touch n Go dgn SmartTag dibuka semula di lorong yang sama.

Manakala, seorang lagi pengguna, Abu Fawwaz Nur Farhah, mempersoalkan kajian yang dilakukan PLUS itu meliputi semua aspek atau sebaliknya.

“Tidak pasti kajian ini meliputi semua aspek atau tidak? Rata-rata kereta baharu sudah ada sistem SmartTAG yang efektif.. Ia menyusahkan dan suatu pelaksanaan yang tidak efektif,” katanya.

Muhammad Maarof pula, meminta PLUS membaiki perkhidmatan tersebut dan jangan menyusahkan pengguna yang menggunakan lebuh raya.

Semalam, Menteri Kanan (Kerja Raya), Datuk Seri Fadillah Yusof, mengarahkan PLUS dan Touch ‘n Go (TNG) supaya memberi penjelasan serta mencari penyelesaian terbaik berhubung pelbagai isu berkaitan RFID.

Katanya, pihaknya sudah memanggil PLUS dan TNG untuk memastikan semua isu berkaitan pelaksanaan RFID berupaya diselesaikan secepat mungkin.

Beliau berkata, kementerian akan terus memantau dan memastikan kedua-dua syarikat berkenaan menyelesaikan sebarang isu berhubung penggunaan lorong RFID. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here