PM umum sumbangan RM10 juta kepada FAM

0
2

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini, mengumumkan peruntukan RM10 juta kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Perdana Menteri berkata, sumbangan itu mencerminkan sokongan kerajaan kepada pembangunan bola sepak negara.

“Bagi menunjukkan sokongan kerajaan kepada pembangunan bola sepak negara, saya umumkan kerajaan pada tahun 2022 akan menyumbangkan sebanyak RM10 juta kepada FAM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Ibu Pejabat Baharu FAM di Presint 5, di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, tanggungjawab dalam membangunkan bola sepak negara bukan hanya terletak di bahu FAM, malah semua pihak termasuk kerajaan.

Justeru, beliau berharap agar lebih ramai pihak dapat menjadi satu pasukan dalam membangunkan kualiti bola sepak negara.

“Saya sedar, apabila bercakap soal pembangunan bola sepak, tanggungjawab itu tidak seharusnya dipikul oleh FAM semata-mata.

“Ia wajar menjadi agenda nasional, dengan kerjasama kementerian yang berkaitan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta sektor swasta yang boleh menyumbang dari segi sokongan material dan fizikal.

“Sebagai balasan, dengan bantuan modal insan yang ada dalam FAM, badan induk sukan bola sepak negara ini boleh menjamin pulangan atas pelaburan (ROI) bagi memenuhi tuntutan penaja,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, tapak seluas 2.4 hektar itu akan dijadikan sebagai Pusat Latihan Kebangsaan FAM serta pelbagai fasiliti yang mampu menampung program bola sepak di peringkat akar umbi sehingga kebangsaan.

“Majlis pecah tanah hari ini merupakan simbolik permulaan kepada pembangunan infrastruktur atau perkakasan kepada FAM kerana bakal menyediakan pelbagai fasiliti,” katanya.

Perdana Menteri berkata, bola sepak adalah sukan yang paling popular dan menjadi sukan nombor satu negara.

“Menjadi harapan peminat dan penyokong Harimau Malaysia agar FAM dapat melahirkan pemain-pemain yang berkualiti dan membangunkan fasiliti secara terancang bagi meningkatkan mutu bola sepak negara,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa berusaha melakukan yang terbaik bagi membantu perkembangan mutu bola sepak negara.

“Peta Hala Tuju atau F:30 yang dilancarkan pada 2018 pula adalah simbol kesungguhan FAM melaksanakan pelan menyeluruh ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara bola sepak yang disegani.

“Sasaran utama F:30 adalah menjadikan pasukan negara antara lima yang terbaik di Asia menjelang 2030,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here