SATU lagi kes kematian tahanan dalam lokap dilaporkan dan kali ini membabitkan lokap Balai Polis Pengekalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Datuk Azri Ahmad, berkata kematian membabitkan tahanan lelaki berusia 37 tahun yang dilaporkan semalam.
Menurutnya, JIPS dimaklumkan mengenai kes berkenaan pada jam 4.35 petang.
“Orang kena tahan (OKT) adalah lelaki tempatan berusia 37 tahun yang ditangkap mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“OKT telah direman selama empat hari mulai 16 Januari 2022 sehingga 19 Januari 2022 di Mahkamah Kota Bharu, Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, susulan itu Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) JIPS akan menjalankan siasatan berkaitan kes berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan seorang tahanan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, Perak pada 13 Januari lalu membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 63 tahun.
Kes kematian lelaki berkenaan yang merupakan tahanan tumpang dari Penjara Taiping dimaklumkan kepada JIPS pada jam 11 pagi hari kejadian.
Susulan kes berkenaan, dua OKT lain di lokap terbabit dan dua anggota polis yang bertugas direman oleh Mahkamah Majistret Taiping.
Menurut Azri, keempat-empat individu berkenaan direman selama tujuh hari bermula 14 Januari lalu bagi membantu siasatan. – Malaysiapost

