‘Walau mata tidak dapat melihat, hatinya terang’ – Idris

0
1

“WALAU matanya tidak dapat melihat. Hatinya terang berderang. Allahuakbar,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad.

Idris berkata demikian ketika melawat pelajar OKU cacat penglihatan, Tan Mike Foong 25, yang berjaya khatam hafazan 30 juzuk al-Quran di Darul Quran JAKIM semalam.

Menurut Idris, beliau bersyukur kerana berpeluang bertemu mata dengan pelajar mualaf itu dan berkesempatan memperdengar bacaannya.

“Syukur kepada Allah, adik Mike telah berjaya menghafaz 30 juzuk Al-Quran. Walau serba kekurangan, tetap adik Mike cekal belajar dan menghafaz Kalam Allah.

“Lubuk hati saya bertambah hiba. Apabila adik Mike mengalunkan hafazannya di hadapan saya, ingatan dan bacaannya sempurna, sebutan makhraj juga tepat.

“Walau matanya tidak dapat melihat. Hatinya terang berderang. Allahuakbar. Inilah mukjizat agung wahyu ilahi,” katanya menerusi Facebook.

Dalam pada itu, Idris berkata, Mike akan menjadi anak angkat kepada Darul Quran JAKIM walaupun selepas beliau tamat pengajian nanti.

“Saya rasa gembira dan berkata dalam hati, adik Mike bertuah, melihat pengorbanan ibunya, Ang Bee Cheng dan bapanya, Tan Ang Chong yang sentiasa menyokong kuat pengajian anak mereka walaupun berbeza agama.

“Itulah sifat ibu bapa, kasih mereka tiada bertepi. Saya menasihatkan adik Mike supaya menjadi anak yang taat kepada ibu bapa. Semoga berjaya dalam pengajian di Darul Quran.

“Tahniah kepada semua Asatizah, pensyarah dan pentadbir Darul Quran JAKIM. Sentiasa menjadi contoh pengurusan tahfiz berkualiti,” katanya.

Isnin lalu, JAKIM menerusi Facebook, berkongsi pautan Facebook Darul Quran memaklumkan Mike berjaya khatam hafazan 30 juzuk al-Quran.

Mike kini berada di semester akhir Program Diploma Tahfiz al-Quran danal-Qiraat DQ, JAKIM, Kuala Kubu Bharu.

Sebelum ini media pernah melaporkan, Mike yang mengikuti Program Sijil Asas Tahfiz di institusi berkenaan berjaya menghafaz 10 juzuk al-Quran dalam tempoh setahun.

Kejayaan beliau ini akan diraikan bersama-sama rakan-rakan dalam Majlis Khatam Hafazan Al-Quran yang dijadualkan berlangsung pada 5 Mac hadapan.

Anak sulung dari tiga beradik ini dilahirkan buta akibat masalah saraf dan memeluk Islam sejak 2015. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here