Jangan tolak pandangan NGO – Ahmad Zahid

0
1

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengingatkan kerajaan agar tidak menolak pandangan dan isu dibawa oleh badan bukan kerajaan (NGO) terutama membabitkan masalah rakyat.

Menurutnya, kerajaan jangan menolak terus apa yang NGO suarakan, kerana pasti ada asas tentang keprihatinan mereka membawa suara rakyat suara keramat.

“Dengar, berbincang dan lakukan yang terbaik untuk rakyat, bukan menyanggah dan kemudian mengeluarkan arahan berbeza-beza,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) memaklumkan, sering dikunjungi ketua dan wakil beberapa NGO termasuk Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Katanya, NGO terbabit menyuarakan kebimbangan, keresahan dan kerisaun mereka tentang beberapa isu yang sedang dihadapi rakyat.

“Antaranya berhubung pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membantu masyarakat yang masih berdepan dengan tekanan ekonomi.

“Mereka turut menyuarakan tentang isu kesan sampingan dos ketiga vaksin Covid-19 yang rata-rata penerima mengalaminya.
Begitu juga dengan kewajaran pemberian vaksin kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, turut dibangkitkan tentang pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) untuk menaikkan nilai kompaun sehingga RM10,000 yang dikhuatiri akan menambah penderitaan rakyat.

“Sebagai Presiden Umno saya memahami mengapa NGO terbabit mencari Umno sebagai saluran menyuarakan keluhan mereka.

“Ini disebabkan persepsi Perdana Menteri daripada Umno maka Umno adalah kerajaan yang mendokong segala-galanya,” katanya.

Beliau berpendapat, mungkin juga NGO berkenaan putus harapan terhadap saluran sedia ada sehingga mencari saluran politik untuk suara rakyat didengari.

“Saya mengalu-alukan kehadiran NGO terbabit dan bagi saya kerajaan harus mendengar pandangan-pandangan NGO ini.

“Saya dan rakan-rakan kepimpinan Umno akan membawa perkara diketengahkan NGO terbabit secepat mungkin kepada kerajaan,” katanya.

Menurutnya, ini bukan mainan politik kerana dalam keadaan apa sekali pun Umno akan tetap mengutamakan dan memihak kepada rakyat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here