SEBANYAK 57 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membabitkan kumpulan profesional perubatan, kesihatan dan pengguna di negara ini, menyokong cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membentangkan Akta Kawalan Tembakau dan Merokok serta mewujudkan peruntukan berkaitan ‘Generational End Game (Generasi Penamat)’ di Parlimen.
Dalam kenyataan bersama itu, NGO berkenaan menyatakan negara ini tidak akan mencapai ‘End Game’ itu sekiranya tiada siapa yang mengambil pendekatan berani seperti yang dicadangkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
“Hal demikian kerana situasi merokok di Malaysia masih berdepan keadaan mencabar dengan peratusan merokok hanya turun sedikit daripada 23 peratus kepada 21 peratus sejak 1986 hingga sekarang.
“Kos rawatan penyakit akibat daripada tabiat merokok ini juga sudah lama menjadi beban kepada negara terutamanya terhadap sistem kesihatan dan kewangan kita.
“Masalah merokok di Malaysia ini sedang menjadi semakin parah apabila terdapat lambakan produk merokok alaf baharu iaitu rokok elektronik dan vape yang sudah pasti akan menyebabkan negara ini terlambat daripada mencapai The End Game dalam tempoh yang dijangkakan.
“Oleh itu, cadangan bersifat berani bagi membuat larangan merokok terhadap generasi akan datang dalam akta baharu yang akan dibentangkan ini adalah sangat disokong dan perlu dipuji,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Menurut kenyataan itu, pelan strategik kebangsaan berkaitan kawalan tembakau membabitkan program khas bagi setiap peringkat umur dalam lapisan masyarakat sudah pun disusun menerusi kerjasama pelbagai agensi ke arah mewujudkan Malaysia yang bebas rokok.
“Pendidikan awal mengenai bahaya asap rokok basi (secondary smoker) dan keburukan tabiat merokok disasarkan kepada golongan kanak-kanak pra-sekolah, sekolah rendah dan remaja untuk mewujudkan generasi bebas amalan merokok.
“Sasarannya adalah menjelang tahun 2025 bilangan perokok menurun kurang daripada 15 peratus dan menurun kepada lima peratus menjelang tahun 2040,” katanya.
Katanya, selain itu kawalan ketat serta penguatkuasaan yang tegas perlu dilaksanakan tanpa memberikan keistimewaan kepada mana-mana jenis produk merokok termasuk vape yang terbukti membahayakan kesihatan rakyat Malaysia.
“Oleh itu, kami menyeru kepada semua pemimpin dan ahli parlimen yang akan bersidang nanti supaya bersatu hati dalam menerima dan meluluskan cadangan yang sangat baik ini demi masa hadapan bangsa dan negara.
“Kepada pihak industri rokok terutama industri vape dan rokok elektronik, kami ingin menasihatkan untuk berlapang dada dalam menerima undang-undang baharu dan penguatkuasaan yang akan diperkenalkan ini.
“Tidak mungkin kita tidak mahu melindungi generasi anak cucu kita daripada terjebak dengan masalah ketagihan merokok, tidak kira samada rokok konvensional mahupun rokok elektronik sepertimana yang kita alami sekarang ini,” katanya.
Kenyataan bersama itu membabitkan Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM Health), Malaysian Women’s Action for Tobacco Control and Health (MyWATCH), Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) dan Pertubuhan Rangkaian Pembangunan Kesinambungan Malaysia (SUSDEN Malaysia).
Selain itu, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), National Cancer Society of Malaysia, Persatuan Perunding Penyakit Tidak Berjangkit (NCD Consultant Chapter), Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM), Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) serta Pertubuhan Masyarakat Sejahtera Tanpa Asap Rokok Terengganu (my STAR). – Malaysiapost

