Permohonan pekerja asing dibuka 28 Januari

0
2

PROSES permohonan bagi pengambilan pekerja asing akan dibuka secara berperingkat bermula 28 Januari ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, permohonan pada 28 Januari itu bagi pengambilan 32,000 pekerja dalam sektor perladangan secara pengecualian khas.

Jelasnya, bagi permohonan pekerja asing untuk sektor-sektor lain termasuk sektor perladangan tanpa pengecualian khas pula akan mula dibuka pada 15 Februari.

“Selain tarikh-tarikh yang diumumkan untuk kemasukan pekerja warga asing, saya ingin mengingatkan semua majikan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Kemasukan Pekerja Warga Asing yang telah ditetapkan kerajaan.

“SOP ini merangkumi empat fasa iaitu pra pelepasan, semasa ketibaan, selepas ketibaan iaitu tempoh kuarantin dan pasca kuarantin.

“Semua pekerja warga asing perlu menjalani tempoh kuarantin tujuh hari dan ujian saringan Covid-19 sebanyak dua kali dalam tempoh tersebut yang akan ditanggung oleh majikan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Saravanan berkata, semua pusat kuarantin dan hotel bagi tujuan kuarantin ketika ini berada di Lembah Klang.

“Setakat ini, kapasiti yang boleh ditampung oleh pusat kuarantin atau hotel bagi tujuan kuarantin adalah sebanyak 10,000 orang pada satu-satu masa.

“Kementerian Sumber Manusia mengalu-alukan mana-mana pihak yang berminat untuk menawarkan khidmat sebagai pusat kuarantin atau hotel bagi tujuan kuarantin dengan mematuhi syarat dan kriteria ditetapkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here