Maszlee minta KDN bantu penyelenggaraan IPD Putrajaya

0
1

AHLI Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) dapat memberikan peruntukan segera untuk penyelenggaraan di dalam bangunan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.

Ia selepas beliau melihat keadaan dalam IPD tersebut yang uzur, selepas hadir untuk disoal siasat, semalam.

Beliau disiasat berhubung kehadirannya menyaksikan Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyerahkan memo dan plakad kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan isu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, baru-baru ini.

“Pengawai penyiasat (IO) yang mengambil keterangan saya begitu profesional, cekap dan mesra, begitu juga pegawai-pegawai dan anggota-anggota di IPD Putrajaya.

“Cuma saya agak terganggu dengan pemandangan siling-siling yang bocor, kerusi yang uzur dan juga beberapa pemandangan yang kurang sesuai dengan status IPD yang terletak di Putrajaya.

“Para pegawai dan anggota hendaklah bekerja di dalam suasana yang kondusif dan selesa. Mereka berkhidmat untuk rakyat dan negara.

“Saya harap pihak Kementerian Dalam Negeri dapat memberikan peruntukan segera untuk penyelenggaraan di dalam bangunan IPD Putrajaya,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Maszlee berkata dari luar IPD tersebut memang nampak gah dan cantik, namun di dalamnya memerlukan penyelenggaraan.

“Saya yakin para pegawai dan anggota di IPD akan lebih bersemangat menjalankan tugas dan tanggungjawab jika persekitaran dalam pejabat mereka elok dan selesa.

“Begitu juga saya ingin meminta agar pihak KDN dapat membantu naik taraf dan penyelenggaraan Balai Polis Simpang Renggam, Layang-Layang dan Pasukan Gerak Am (PGA) Batalion 5 di dalam kawasan Parlimen Simpang Renggam,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here