DAP Perak akan mengeluarkan kenyataan sebaik sahaja polis mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung tangkapan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang dilapor terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata, tiada sebarang kenyataan daripada parti itu setakat ini kerana masih menunggu pengesahan daripada polis.
Menurutnya, adalah tidak wajar untuk memberi ulasan memandangkan pihak berkuasa sendiri tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berkaitan individu yang kononnya wakil rakyat DAP ditahan kerana positif dadah, semalam.
Jelasnya, setakat ini DAP sendiri masih belum mendapat sebarang laporan lanjut berhubung perkara berkenaan.
“Saya tidak mahu menafi atau mengesahkan kerana saya sendiri tidak ada maklumat tepat berkaitan kes itu, saya pun hanya dengar-dengar begitu sahaja.
“Jadi saya rasa lebih baik tunggu kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost, hari ini.
Semalam, media melaporkan seorang Adun Perak ditahan bersama 35 individu lain selepas ujian saringan air kencing mereka positif dadah.
Wakil rakyat berusia 50-an itu ditahan di sebuah restoran di Perai, Pulau Pinang pada jam 9 malam, Khamis lalu.
Difahamkan Adun Perak yang dimaksudkan adalah daripada DAP. – Malaysiapost

