Malaysia terima 4 kapal LMS aset baharu TLDM

0
2

MALAYSIA menerima empat kapal misi pesisir (LMS) yang juga aset terbaharu milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di pangkalan Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussien, berkata empat LMS itu diberi nama Kapal Diraja (KD) KERIS; KD SUNDANG; KD BADIK; dan yang terbaharu KD RENCONG.

“Penyerahan fizikal RENCONG telah dilaksanakan pada 18 Disember 2021 di Qidong, China. RENCONG bakal melalui satu lagi detik bersejarah yang mana ia akan menerima pentaulihan pada 28 Januari 2022.

“Sebaik sahaja ditauliahkan, RENCONG bakal dikenali sebagai KD RENCONG seterusnya akan menyertai Skuadron LMS Ke-11 yang berpangkalan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hishammuddin berkata, misi utama skuadron kapal itu bagi menangkis ancaman asimetri, pengawasan kawasan operasi, rondaan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE), tugas sokongan kepada Military Operation Other Than War (MOOTW) serta sebagai platform sokongan kepada tugasan dalam keadaan aman, konflik mahupun perang.

Katanya, kesemua LMS telah selesai diterima oleh TLDM dalam tempoh yang ditetapkan.

Beliau berkata, keberadaan empat LMS khususnya di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu membolehkan TLDM melaksanakan sepenuhnya perancangan di bawah Program Transformasi 15 to 5 bagi mengukuhkan lagi kawalan keselamatan di perairan negara.

“Menerusi keupayaan LMS ini juga, TLDM akan manfaatkan dengan sebaik mungkin demi mengukuhkan lagi tahap keselamatan di kawasan perairan Sabah.

“Ini termasuk melalui peningkatan rondaan bagi menangani kegiatan jenayah rentas sempadan seperti kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) melalui jalan laut serta menangani aktiviti pelanunan.

“Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan keempat-empat LMS yang telah diterima oleh pihak TLDM,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here