Tahniah Keluarga Malaysia!

0
1

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan tahniah kepada seluruh Keluarga Malaysia susulan negara berada kedudukan terbaik di ASEAN dan tangga ke-13 daripada 122 negara dalam pemulihan Covid-19.

Beliau menzahirkan penghargaan atas kerja keras dan semangat penyatuan rakyat Malaysia dalam menempuhi pandemik Covid-19 sejak wabak berkenaan melanda.

“Tahniah Keluarga Malaysia! Ianya adalah hasil dari kerja keras dan semangat penyatuan setiap ahli Keluarga Malaysia dalam menempuhi pandemik Covid-19 ini bersama.

“Alhamdulillah, Malaysia memperoleh 66.5 mata dalam Indeks Pemulihan Covid-19 Nikkei Asia yang tertinggi bagi negara ASEAN dan tangga ke-13 daripada 122 negara atau wilayah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, indeks pencapaian itu mengambil kira aspek pengurusan jangkitan, pelaksanaan pemberian vaksin dan mobiliti sosial.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh Keluarga Malaysia termasuk wira-wira kita iaitu petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus memelihara rakyat dan negara daripada ancaman wabak Covid-19 ini.

“Ya, kita berada dalam tempoh pemulihan negara daripada musuh dunia ini iaitu Covid-19. Pelbagai cabaran dan dugaan sudah kita tempuhi, namun semangat sebagai sebuah keluarga perlu senantiasa utuh demi mencapai kemakmuran bersama,” katanya.

Beliau turut mengingatkan walaupun berjaya mencapai indeks yang terbaik, namun semua pihak jangan sesekali alpa dan sentiasa menjaga keselamatan diri, keluarga serta masyarakat sekeliling. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here