JABATAN Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyiasat kes kematian seorang tahanan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, hari ini.
Pengarah JIPS, Datuk Azri Ahmad berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kes berkenaan pada jam 11 pagi tadi.
Menurutnya, kematian itu membabitkan orang kena tuduh (OKT) dalam tahanan polis di IPD Taiping.
“OKT adalah seorang lelaki Melayu berusia 63 tahun dan merupakan tahanan tumpang dari Penjara Taiping yang telah dituduh pada 18 April 2021 dibawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
“OKT telah ditempatkan di lokap IPD Taiping selepas sebutan pertama kes pada 11 Januari lalu sementara menanti sebutan seterusnya esok,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kes berkenaan akan disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan (USJKT) JIPS, Bukit Aman. – Malaysiapost

