TINDAKAN Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno menegaskan mengenai sokongan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri sentiasa kekal, malahan akan terus dimantapkan dilihat sebagai satu manifestasi kebijaksanaan MKT.
Ketua Umno Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berpendapat, MKT Umno terus mempamerkan kebijaksanaan musyawarah dan sentiasa mempamerkan tahap kematangan politik yang tinggi.
“Mesyuarat MKT jelas membuat ‘endorsement’ bahawa Ismail Sabri akan terus memimpin negara sehingga tamat tempoh penggal Parlimen ke-14, pada tahun 2023.
“Bukan itu saja, malah MKT turut menunjukkan isyarat bahawa Ismail Sabri adalah ‘poster boy’ Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), sekaligus merupakan calon Perdana Menteri daripada Umno, pasca PRU-15 nanti,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau mengulas mengenai keputusan Mesyuarat MKT Umno yang dimaklumkan oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam satu kenyataan media selepas mesyuarat berkenaan diadakan malam tadi.
Menurut Ahli Parlimen Ketereh yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia itu, keputusan dibuat MKT Umno itu secara tidak langsung memberi isyarat bahawa tradisi Umno akan terus dipertahankan.
“Dalam Umno, seseorang yang diangkat sebagai Perdana Menteri akan seterusnya diberi ‘endorsement’ oleh parti untuk mengambil alih kepimpinan parti sebagai Presiden Umno.
“Saya percaya inilah sebahagian dari sumber kekuatan parti. Peralihan kepimpinan utama sentiasa berlaku secara berhemah dan penuh kebijaksanaan.
“Yang mengganti terus memperkasa parti, yang di ganti pula tetap dipandang tinggi. Bak kata pepatah Melayu, patah tumbuh, hilang berganti,” katanya. – Malaysiapost

