Keadaan mengizinkan untuk diadakan pemilihan Umno – Annuar Musa

0
1

KETUA Umno Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berharap pemilihan Umno bagi penggal 2021/2023 dapat diadakan segera sementara keadaan mengizinkan sekarang ini.

Beliau percaya Majlis Kerja Tertinggi Umno (MKT) tidak akan berlengah untuk segera mengadakan pemilihan itu kerana tempoh sebenar memegang jawatan bagi semua ahli MKT sudah tamat pada tahun lalu.

Menurutnya, bagaimanapun perlembagaan Umno membolehkan penangguhan maksima selama 18 bulan, susulan ia terpaksa ditangguhkan kerana memuncaknya kes penularan Covid-19 ketika itu.

“Alhamdulillah keadaan kini sudah semakin baik. Saya percaya MKT tidak akan berlengah untuk segera mengadakan pemilihan sementara keadaan mengizinkan sekarang.

“Lagi pun pemilihan jawatan dalam parti sentiasa menghasilkan kepimpinan yang semakin mantap serta saf pimpinan yang mempunyai ‘legitimacy’ lebih kukuh dengan mendapat mandat akar umbi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Ahli Parlimen Ketereh yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, meskipun pemilihan dibenarkan dalam Umno, namun tidak semestinya akan berlaku perebutan.

“Malah, satu dari amalan yang sering dilakukan dalam Umno semua peringkat adalah ‘baton’ kepimpinan bertukar tangan secara harmonis, konsensus dan penuh semangat kesetiakawanan serta mendahulukan kepentingan perjuangan parti,” katanya.

Annuar turut memuji barisan MKT Umno yang terus mempamerkan kebijaksanaan musyawarah dan sentiasa mempamerkan tahap kematangan politik yang tinggi.

“Ini adalah kerana ahli ahlinya sentiasa bersuara secara terbuka dan jujur,walau kadangkala timbul perbezaan pendapat diantara mereka.

“Sementara itu, Presiden parti yang menakhodai MKT sentiasa memberi ruang dan meraikan kepelbagaian pendapat di kalangan ahli MKT. Suara ahli MKT dihormati,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here