Banjir di Johor makin pulih

0
2

BANJIR di Johor semakin pulih dengan hanya 705 mangsa daripada 206 keluarga masih ditempatkan di 17 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat jam 8 pagi ini.

Jumlah itu menurun berbanding jam 8 malam tadi, dengan seramai 821 mangsa daripada 242 keluarga ditempatkan di 19 PPS.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyananthan, berkata ketika ini hanya tiga daerah sahaja masih terjejas.

Beliau berkata, PPS Sekolah Kebangsaan Seri Sejati, Batu Pahat, yang sebelum ini menempatkan 81 mangsa daripada 18 keluarga sudah ditutup, 3 petang semalam.

Katanya, Segamat juga menunjukkan perkembangan positif apabila kini terdapat 336 mangsa daripada 91 keluarga ditempatkan di 10 PPS, pagi ini.

“Ia berbanding seramai 375 mangsa daripada 107 keluarga ditempatkan di 12 PPS, malam tadi.

“Tangkak semakin pulih dengan 12 mangsa daripada tiga keluarga di sebuah PPS, pagi ini, berbanding seramai 26 mangsa daripada lapan keluarga di sebuah PPS, malam tadi.

“Muar juga berkurangan kepada 367 mangsa daripada 112 keluarga di enam PPS, pagi ini, berbanding 420 mangsa daripada 127 keluarga di enam PPS, malam tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, ketika ini hanya satu jalan yang masih ditutup bagi semua jenis kenderaan meliputi Jalan Felda Bukit Aping (Jalan Kemuning 1), Kota Tinggi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here