POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan risikan dan pemantauan berhubung kegiatan penjualan sijil vaksinasi Covid-19 tanpa suntikan vaksin susulan penahanan seorang doktor di Marang, Terengganu baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Datuk Mohd Kamarudin Md Din, berkata setakat ini hanya satu kes dikesan membabitkan penjualan sijil vaksinasi berkenaan.
“Satu tangkapan dilakukan di Marang, Terengganu berkait penawaran sijil vaksin palsu membabitkan suspek yang juga seorang pengamal perubatan berusia 51 tahun.
“Suspek dikesan menjalankan aktiviti penjualan sijil vaksinasi Covid-19 tanpa memberikan suntikan vaksin sebenar dan kini direman sehingga 12 Januari untuk membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, polis akan mengesan kumpulan atau individu persendirian yang mungkin menjalankan aktiviti penjualan sijil berkenaan ditempat lain.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kegiatan sebegini adalah digesa untuk menyalurkan maklumat kepada polis.
“Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau CCID Scam Response Centre di talian 03-2610 1559/1599 agar siasatan lanjut dapat dijalankan,” katanya.
Media semalam melaporkan, Polis Terengganu merampas kira-kira 1,900 sijil vaksinasi Covid-19 dipercayai palsu dan memberkas seorang pengamal perubatan sebuah klinik kesihatan swasta di Marang.
Sijil berkenaan disyaki dijual dengan harga RM400 hingga RM500 setiap satu secara atas talian kepada pelanggan dipercayai golongan anti vaksin. – Malaysiapost

