Jambatan runtuh, jenazah tempuh perjalanan terakhir sukar

0
1

SATU jenazah penduduk Kampung Sungai Rotan, Jelebu, terpaksa menempuh perjalanan terakhir yang sukar sebelum selesai dikebumikan di tanah perkuburan kariah yang terletak di seberang sungai kampung berkenaan.

Menerusi hantaran klip video di Facebook milik Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias, penduduk terpaksa bergotong-royong membina dua barisan panjang manusia dalam sungai dianggar kira-kira 20 meter lebar bagi ‘menyeberangkan’ jenazah ke tanah perkuburan, malam tadi.

“Hari ini berlaku satu kematian di Kampung Sungai Rotan, Jelebu. Salam takziah saya ucapkan kepada keluarga dan sanak saudara allahyarham.

“Kematian yang berlaku pada hari ini sepatutnya membuka mata dan mengetuk pintu hati pihak yang berwajib.

“Sebelum ini, jalan untuk ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Rotan ini dihubungkan oleh dua jambatan,” katanya.

Jalaluddin yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan menjelaskan, jambatan pertama runtuh Mei tahun lalu akibat dilalui kenderaan berat yang melebihi muatan.

“Semenjak jambatan itu runtuh, permohonan untuk jambatan itu dibina semula kepada kerajaan negeri telah dilakukan.

“Saya mendapat maklumat sudah terdapat kontraktor yang dilantik untuk membina semula jambatan itu, namun begitu sehingga ke saat ini tiada sebarang kerja-kerja pembinaan dilakukan.

“Keadaan tidak terlalu mendesak ketika itu kerana terdapat satu lagi jambatan alternatif merentasi sungai untuk ke tanah perkuburan tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, situasi menjadi mendesak apabila jambatan kedua pula runtuh akibat banjir Disember lalu.

“Tapi Allah itu Maha Besar. PerancanganNya lebih baik dari perancangan manusia. Ditakdirkan Tuhan, jambatan alternatif itu juga runtuh akibat banjir tempoh hari.

“Ini adalah kes kematian pertama terpaksa dikebumikan di tanah perkuburan tersebut setelah ketiadaan kedua-dua jambatan perhubungan itu,” katanya.

Jalaluddin turut mengucapkan terima kasih kepada Pemuda Umno dan penduduk kampung Sungai Rotan yang bertungkus-lumus untuk membantu menyempurnakan urusan pengebumian jenazah.

“Hanya Allah yang dapat membalas segala jasa dan pengorbanan semua yang terlibat dalam melaksanakan tuntutan fardhu kifayah ini.

“Saya amat berharap agar keadaan pada hari ini membuka mata kerajaan negeri agar segerakan pembinaan jambatan ini. Janganlah sampai penduduk kampung terpaksa melalui keadaan ini sekali lagi.

“Saya akan melakukan segala yang boleh untuk pastikan agar jambatan ini segera dibina. Saya yakin dan percaya jika kita permudahkan urusan orang lain, InsyaAllah akan permudahkan urusan kita kelak,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here