PRESIDEN Parti Demokratik Bersatu Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Abdul Rahman berkata beliau tidak menyalahkan polis kerana menyiasat enam sukarelawan parti itu kerana menyampaikan bantuan secara terus kepada mangsa banjir di rumah dan pusat pemindahan sementara (PPS).
Sebaliknya Ahli Parlimen Muar itu berkata beliau menyalahkan ketidakcekapan pihak yang terlibat sehingga menyukarkan bantuan kepada mangsa banjir disampaikan secara terus.
“Mangsa banjir lapar. Mereka minta bantuan. Kami pun sampaikan bantuan. Tiba tiba kena panggil polis/disiasat.
“Kami nak bantu orang susah,bukan nak main politik. Nak lawan, lawanlah dengan sihat. Buktikan khidmat kamu lebih baik.
“Kesian Polis. Mereka ada perkara yang lebih baik untuk dibuat. Saya tak salahkan polis, saya salahkan ketidakcekapan kamu (pihak yang berkaitan),” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Semalam, Syed Saddiq dalam sidang media yang disiar secara langsung di media sosialnya mendakwa enam sukarelawan MUDA disoal siasat kerana menyampaikan bantuan secara terus kepada mangsa banjir di rumah dan PPS.
Sehubungan itu beliau memohon polis tidak melayan sukarelawan parti itu seperti penjenayah.
Terdahulu hari ini, Pemangku Ketua Polis Johor Datuk Khaw Kok Chin, berkata polis tidak beranggapan bahawa mana-mana sukarelawan daripada badan bukan kerajaan atau parti politik yang memberi bantuan untuk mangsa banjir di Johor melakukan kesalahan undang-undang.
Bagaimanapun katanya, pihaknya akan melakukan siasatan sekiranya terdapat laporan polis berhubung pemberian bantuan terbabit.
Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut peruntukan perundangan secara adil dan saksama untuk mengetahui sama ada terdapat pelanggaran undang-undang atau tidak. – Malaysiapost
