POLIS merampas kira-kira 1,900 keping sijil vaksinasi Covid-19 dipercayai palsu dan memberkas seorang pengamal perubatan sebuah klinik Kesihatan swasta di Marang, Terengganu, kelmarin.
Sijil berkenaan disyaki dijual dengan harga RM400 hingga RM500 setiap satu secara atas talian kepada pelanggan dipercayai golongan anti vaksin.
Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa, berkata kegiatan itu terbongkar selepas pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Terengganu membuat serbuan ke atas sebuah klinik swasta di daerah Marang pada jam 8 Januari lalu.
“Serbuan turut menahan seorang pengamal perubatan berusia 51 tahun kerana disyaki menjalankan kegiatan mengeluarkan sijil vaksinasi palsu kepada pelanggan-pelanggannya dengan kadar bayaran antara RM400-RM500 seorang.
“Kegiatan ini dipercayai dilakukan secara atas talian, dan ada di antara pelanggan suspek berasal dari luar Terengganu.
“Sebahagian besar pelanggan dipercayai merupakan golongan yang menolak pengambilan vaksin, tetapi memerlukan sijil vaksinasi atas keperluan pergerakan merentas negeri dan sebagainya,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, hari ini yang turut dikongsi di laman Facebook Polis Terengganu.
Hadir sama dalam sidang media itu adalah Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Datuk Dr Kasemani Embong.
Beliau memaklumkan kes berkenaan sedang disiasat lebih lanjut bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurutnya, suspek kini direman bagi siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Rohaimi turut memberi amaran kepada mana-mana pihak yang mengeluarkan sijil vaksinasi palsu kepada pelanggan demi mengaut keuntungan agar menghentikan tindakan yang melanggar etika itu.
“Polis Terengganu akan meneruskan operasi memburu pihak-pihak yang menjalankan aktiviti jenayah ini di negeri ini dengan kerjasama JKNT.
“Kes ini tidak hanya dilihat dari segi kes penipuan atau pemalsuan sijil semata-mata, tetapi tindakan tersebut juga boleh membawa bencana kepada masyarakat melalui risiko rantaian jangkitan kerana tiada perlindungan vaksin terhadap Covid-19,” katanya.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti jenayah itu supaya menyalurkan maklumat kepada pihak polis supaya tindakan lanjut dapat diambil demi kesejahteraan semua. – Malaysiapost

