Pelantikan Azam Baki ikut proses tapisan keselamatan, keutuhan 

0
1

PELANTIKAN Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibuat mengikut proses peraturan dan kaedah ditetapkan ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.  

Perkara itu dijelaskan bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri kelapan itu, Datuk Dr Marzuki Mohamad yang berkata, tidak timbul soal sama ada Muhyiddin membuat semakan latar belakang pegawai sebelum pelantikan dibuat.  

“Untuk pengetahuan umum, pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM dibuat di bawah peruntukan Seksyen 5 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.  

“Di bawah seksyen ini, KP SPRM dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri,” kata menerusi hantaran di Facebook, hari ini.  

Marzuki berkata, Muhyiddin seperti mana dalam pelantikan mana-mana pegawai tinggi kerajaan yang lain, lazimnya menerima syor daripada Ketua Setiausaha Negara atau mana-mana pihak yang diperuntukkan di bawah undang-undang. 

“Syor ini diangkat kepada Perdana Menteri dalam bentuk kertas cadangan pelantikan pegawai yang mana di dalamnya terdapat laporan mengenai kelayakan pegawai dan justifikasi pelantikan. 

“Terdapat proses tertentu dalam perkhidmatan awam yang menentukan kelayakan seseorang pegawai untuk dilantik ke mana-mana jawatan. Ini termasuk proses tapisan keselamatan dan keutuhan yang dibuat oleh pelbagai agensi dari masa ke semasa,” jelasnya.  

Menurut Marzuki, bagi pegawai yang sedang berkhidmat, mereka tertakluk kepada pelbagai peraturan dan syarat termasuk pengisytiharan harta. 

Katanya, Azam adalah Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM sebelum dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya. 

“Ada borang tertentu perlu diisi dan kaedah tertentu perlu dipatuhi oleh seorang pegawai yang sedang berkhidmat dalam mengisytihar harta masing-masing.  

“Saya percaya sebagai pegawai tinggi kerajaan yang sedang dalam perkhidmatan, beliau tertakluk kepada semua syarat dan proses ini sebelum dan selepas pelantikan dibuat,” katanya.  

Justeru, Marzuki menegaskan, sebarang isu yang timbul selepas itu hendaklah ditangani menurut peruntukan undang-undang dan peraturan yang sedang berkuatkuasa. 

Dalam sidang media minggu lalu, Azam menafikan tuduhan mempunyai kawalan ke atas banyak syarikat termasuk syarikat konglomerat seperti didakwa dan tular, sejak akhir-akhir ini. 

Beliau menganggap ia penipuan besar pihak tertentu untuk memberi persepsi negatif yang direka cipta untuk menjatuhkan reputasinya dan SPRM. 

Azam yang didakwa memiliki saham di beberapa syarikat, berkata beliau sudah menjelaskan perkara itu kepada Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR). 

Katanya, akaun sahamnya digunakan oleh adiknya, Datuk Nasir Baki, dalam urusniaga selain Azam tidak mempunyai kepentingan atau manfaat terhadap saham yang dibeli itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here