TIMBALAN Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Darell Leiking menyokong cadangan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal membenarkan pesakit dan mereka yang dikuarantin akibat Covid-19 untuk mengundi awal.
Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog itu berkata ini bagi memastikan tiada seorang pun dinafikan hak untuk mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Katanya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mampu menangani situasi tersebut jika ada pesakit Covid-19 dibenarkan mengundi.
“Tidak ada sesiapa yang harus dinafikan hak mereka untuk mengundi, inilah asas dalam demokrasi kita.
“Oleh itu, jika mereka diberi kesempatan untuk mengundi ketika berada dalam tempoh kuarantin, saya rasa tidak menjadi masalah kepada SPR, malah mereka harus diberi untuk mengundi awal dan SPR dapat menanganinya,” katanya selepas berkempen di Kampung Sugud semalam, seperti dilaporkan Borneo Today.
Sebelum ini, beberapa pemimpin antaranya Pengerusi Barisan Nasional (BN), Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Anifah Aman mengecam cadangan Mohd Shafie.
Mereka antara lain mendakwa perkara itu akan membahayakan orang ramai yang kemungkinan terkena jangkitan. – Malaysiapost

