KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal perlu membuat kenyataan segera dan tegas menuntut Datuk Mohamaddin Ketapi memohon maaf kerana mendakwa insiden di Kampung Tanduo tujuh tahun lalu, hanyalah peperangan bersama ayam dan anjing.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata permohonan maaf itu perlu dibuat kepada semua keluarga anggota keselamatan yang menyabung nyawa dan terkorban dalam tragedi tersebut.
“Ketua Menteri yang juga bekas Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia dan Pengerusi Majlis Keselamatan Negara Negeri Sabah perlu membidas ucapan calon Warisan, Datuk Mohamaddin Ketapi.
“…. yang memperlekeh pengorbanan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam insiden Tanduo, Lahad Datu,” katanya menerusi kenyataan di Facebooknya hari ini.
Dalam satu video ucapannya yang tular di media sosial, Mohamaddin, calon Parti Warisan Sabah (Warisan) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama mendakwa tragedi di Kampung Tanduo, Lahad Datu hanyalah peperangan bersama ‘ayam’ dan ‘anjing’.
“Jadi ada peperangan konon di Tanduo. Datanglah jet di Tanduo, dibomnya kelapa sawit orang.
“Habis hangus kelapa sawit orang, habis hangus rumah orang. Koyak rumah orang ditembak. Ini kenyataan.
“Habis itu, disuruh kereta kebal masuk di Kampung-kampung suruh berperang sama ayam. Siapa kawan dia berperang? Tiada. Ayam sama anjing di kampung kawan dia berperang,” katanya. – Malaysiapost

