TABUNG Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) menerusi Kumpulan Wang Tenaga Boleh Baharu (KWTBB), dapat dimanfaat kembali kepada rakyat melalui Program Sustainability Achieved Efficiency (SAVE) 3.0.
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, berkata tabung itu merupakan sebahagian daripada kutipan bil elektrik setiap bulan bagi seluruh negara, dimasukkan ke dalam tabung tersebut.
“Ia untuk digunakan bagi menggalakkan pembangunan tenaga lestari serta membantu setiap rumah tangga mengurangkan penggunaan elektrik.
“Jadi, berhubung dengan tabung tersebut, kerajaan dapat menyediakan program SAVE 3.0 bagi setiap pemilik akaun elektrik domestik untuk menikmati baucer dan rebat sehingga RM400 bagi pembelian peralatan elektrik cekap tenaga berlabel empat atau lima bintang oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).
“Ini termasuk pembelian atas talian dan juga di kedai runcit manakala bagi mangsa banjir pula, baucar sehingga RM500 diberi bagi pembelian sebarang peralatan elektrik menerusi rangkaian atas talian dan runcit dalam senarai SEDA,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Sebelum itu, Najib berkata, SEDA ditubuhkan pada 2011 oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika beliau masih memegang jawatan sebagai Perdana Menteri.
“Justeru, berhubung dengan itu, satu tabung bernama Kumpulan Wang Tenaga Boleh Baharu (KWTBB) juga telah ditubuhkan dan dikawal SEDA,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, tabung SEDA ini sebenarnya adalah wang yang dikutip dari setiap pengguna elektrik dan disimpan sejak tabung ditubuh.
“Jadi, manfaatlah sepenuhnya hak kamu,” katanya.
Pada 7 Januari lalu, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melancarkan Program SAVE 3.0 iaitu pemberian e-rebat sehingga RM400 untuk pembelian barangan elektrik cekap tenaga berlabel empat atau lima bintang oleh Suruhanjaya Tenaga 2022 bermula hari ini.
Menterinya Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata program SAVE 3.0 dibiayai Dana Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (AAIBE) adalah kesinambungan daripada Program SAVE 1.0 dan SAVE 2.0 dengan penambahan jenis peralatan elektrik cekap tenaga.
Menurutnya, penyediaan insentif e-rebat ini bertujuan menggalakkan lebih ramai pengguna elektrik melaksanakan amalan cekap tenaga, sekali gus menyumbang kepada penjimatan penggunaan tenaga dan bil elektrik. – Malaysiapost

