SETIAUSAHA Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan kekal mempertahankan kenyataannya sebelum ini yang menyambut baik penjelasan Tan Sri Azam Baki berhubung skandal membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu.
Takiyuddin menjelaskan, konteks sebenar kenyataan beliau ialah ‘berpuas hati’ kerana Azam berani tampil ke hadapan untuk memberi penjelasan.
“Saya selaku Setiausaha Agung PAS, kita bukan hendak kata (Azam) bersalah sebab beliau belum dibuktikan bersalah, sebaliknya, kita juga tidak kata yang beliau tidak bersalah.
“Yang pentingnya kita berpuas hati kerana beliau berani tampil menjelaskan keadaan dan segala tohmahan dilemparkan. Sekarang biar pihak berkuasa iaitu polis dan SPRM selesaikan kes itu,” katanya seperti dilapor Utusan Online.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Persatuan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Kelab di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Bharu, hari ini.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, sama ada bersalah atau tidak, Azam sebagai orang yang dituduh masih menonjolkan satu contoh sikap yang baik apabila tampil ke hadapan dan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.
Terdahulu, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub baru-baru ini menempelak PAS dan mengakui tidak terkejut dengan pendirian disuarakan parti itu berhubung kontroversi menyelubungi Azam.
Salahuddin merujuk kepada kenyataan Takiyuddin yang menyambut baik penjelasan Azam mengenai dakwaan pemilikan saham dalam beberapa syarikat dan menyifatkan Pas kini bersikap ‘mesra dan jinak dengan kemungkaran’. – Malaysiapost

