
KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) berusaha mencari penyelesaian meringankan impak terhadap syarikat pengendali umrah berdaftar yang terkesan berikutan pengumuman penangguhan ibadah itu selama sebulan bermula 8 Januari lalu.
Dalam satu kenyataan, MOTAC berkata, pengumuman penangguhan ibadah umrah sedikit sebanyak telah menjejaskan perancangan penggiat industri yang terlibat, namun mereka masih menyatakan komitmen untuk terus berjuang meskipun terpaksa mengalami kerugian.
“MOTAC sedar bahawa cabaran besar yang dihadapi merangkumi empat perkara iaitu visa umrah, pengangkutan jemaah di lapangan (ground transportation), tempahan penginapan dan makanan jemaah yang tidak dapat ditebus semula (refund),” kata kenyataan itu hari ini.
Sementara itu, MOTAC juga sedang bekerjasama dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Agensi Pengurusan Bencana Malausia (NADMA) dan Persatuan-Persatuan Agensi Pelancongan yang menyediakan pakej umrah bagi menambah baik prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.
Katanya, ia bagi mendapat kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya lebih sesuai dengan keperluan semasa dalam menangani ancaman penularan Covid-19.
Tambahnya, antara cadangan SOP termasuk pengesahan vaksinasi jemaah sebelum menerima bayaran pakej perkhidmatan umrah; dan menjalani kuarantin wajib di stesen kuarantin atau hotel yang telah dikenal pasti sebagai stesen kuarantin oleh pihak NADMA apabila pulang ke Malaysia.
Mengulas berkenaan kenyataan KKM berhubung jemaah yang didapati tiada rekod vaksinasi, MOTAC dan agensi pengendali umrah yakin perkara ini dapat diselesaikan menerusi siasatan yang sedang dijalankan oleh KKM.
“Sebagai pihak yang paling terkesan, sebarang penangguhan pastinya memberi tamparan hebat bagi agensi pengendali umrah yang baru kini dapat beroperasi semula selepas hampir dua tahun bergelut dengan cabaran yang sukar.
“MOTAC percaya bahawa agensi pengendali umrah telah menjalankan tanggungjawab mereka dan melaksanakan SOP yang dibangunkan sebaik mungkin kerana pastinya mereka sendiri tidak mahu timbul sebarang masalah dalam urusan ini,” ujarnya.
Dalam masa sama, MOTAC memaklumkan proses kelulusan pengiklanan pakej umrah/ziarah turut ditangguhkan selama tempoh penangguhan mulai 8 Januari lalu.
Ia memandangkan tarikh penerbangan tidak boleh ditentukan disebabkan penangguhan yang mana merupakan syarat wajib dalam pengiklanan. – Malaysiapost
