AHLI Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri kecewa terhadap kenyataan Datuk Seri Dr Wan Junaidi Jaafar semalam yang didakwa seolah-olah melindungi Tan Sri Azam Baki.
Dalam kenyataan bersama ahli PSC itu, berkata selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), pihaknya kesal terhadap kenyataan Wan Junaidi yang dilihat memperkecilkan keseriusan skandal Azam dengan membangkitkan nilai saham pada masa pembelian.
“Dalam kenyataan Wan Junaidi itu telah memberikan justifikasi isu saham dipegang oleh Azam dengan mengatakan bahawa ianya bernilai RM 330,000.00 dan adalah mampu milik.
“Jadi, persoalan kami, mengapakah Wan Junaidi kelihatan bersifat melindungi Azam?,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan Chan Foong Hing (PH-Kota Kinabalu), Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka), Datuk Azis Jamman (Warisan-Sepanggar) dan William Leong (PH-Selayang).
Dalam pada itu, mereka turut mencabar Wan Junaidi memperjelas hal yang dibangkitkan berkenaan.
Mereka berkata, isu pembelian saham berkenaan bukan sahaja isu mampu milik tetapi ia juga menimbulkan persoalan konflik kepentingan, integriti dan defisit kepercayaan rakyat terhadap SPRM selaku pembasmi rasuah.
“Namun, Wan Junaidi nampaknya telah mengabaikan kesemua persoalan ini.
“Selain itu, penyataan Wan Junaidi (bahawa Azam sendiri mampu beli saham tersebut guna gaji sendiri) juga bertentangan (berkonflik) dengan kenyataan di mana Azam menyatakan bukan dia yang beli, tetapi adiknya yang tumpang namanya untuk membeli,” katanya.
Ahli PCS itu berkata, pihaknya mengambil maklum bahawa Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah diwujudkan secara perundangan mengikut Seksyen 14 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 diketuai Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim akan mengambil langkah dalam isu Azam ini.
“Maka, persoalan kami, bila lagi giliran PSC Agensi JPM yang diketuai Yang Berhormat Tuan Abdul Latiff Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai daripada PAS?
“Nescaya kedua-dua jawatankuasa ditubuhkan melalui peruntukan yang berlainan dan mempunyai peranan yang berlainan untuk dimainkan.
“Justeru, mengapakah seruan kita untuk mengadakan pendengaran untuk Azam Baki diketepikan? Bagaimana demokrasi berparlimen di Malaysia dapat berfungsi jika PSC tidak dapat menjalankan tugas secara berdikari tanpa perlu mendapatkan kelulusan daripada eksekutif?
“Dan mengapakah Setiausaha Dewan Rakyat (SUDR) kena tulis surat kepada Wan Junaidi untuk mendapatkan kelulusan?,” katanya.
Ahli PSC itu berkata, tiada keperluan bagi mendapatkan kelulusan Wan Junaidi dan pihak Yang Dipertua Dewan Rakyat dan SUDR.
“Sebaliknya mereka seharusnya menetapkan tarikh bagi mesyuarat / pendengaran PSC Agensi JPM tanpa dilengah-lengahkan lagi.
“Jadi, sekali lagi kita mendesak PSC Agensi JPM juga harus menjalankan tugas kita, selaras dengan apa yang akan dilangsungkan oleh Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah Rais Yatim,” katanya.
Semalam, Wan Junaidi dalam kenyataan berkata, jumlah saham yang dikaitkan dengan Azam mampu dimiliki kebanyakan orang.
Wan Junaidi juga berkata, adalah tidak salah untuk penjawat awam memperoleh saham dalam syarikat senaraian awam.
Jelas Wan Junaidi, pada 2016, satu juta saham yang dibeli Azam bernilai RM330,000, antara 30 sen dan 33 sen sesaham dan dikumpul secara beransur-ansur. – Malaysiapost

