CALON Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Mohamaddin Ketapi dikecam kerana mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap pasukan keselamatan yang mempertahankan negara dalam insiden pencerobohan Tanduo di Lahad Datu pada 2013.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata kenyataan calon Warisan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama, Lahad Datu itu sangat tidak wajar.
Bung Moktar mengingatkan, semua pihak termasuk pemimpin dan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) peka kepada sensitiviti pasukan keselamatan yang banyak berkorban mempertahankan kedaulatan negara.
Tegasnya, pasukan keselamatan yang bertugas 24 jam menjaga keselamatan dan kedaulatan negara adalah wira yang sepatutnya dihormati dan disanjung tinggi oleh masyarakat.
“Hari ini saya dikhabarkan pemimpin Warisan yang bertanding di DUN Segama, Datuk Mohamaddin Ketapi mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap anggota keselamatan yang menggadai nyawa demi mempertahankan kedaulatan negara dalam insiden Tanduo.
“Bagi saya kenyataan calon di Segama ini kebudak-budakan dan tidak masuk akal. Tidak mungkin serangan di Tanduo itu adalah propaganda BN.
“Ini kenyataan yang tidak menyenangkan rakyat khususnya keluarga anggota keselamatan yang terkorban dalam insiden itu,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan Mohamaddin.
Bung Moktar yang juga calon BN DUN Lamag berkata, serangan pengganas yang bermula di Tanduo itu mengakibatkan beberapa anggota keselamatan terkorban.
Tegasnya, calon PRN kali ini perlu mengelak menggunakan provokasi tidak masuk akal untuk meraih undi.
“Dalam politik ini kita bebas bersuara tapi perlu ada batasnya. Jangan sesekali menidakkan sumbangan dan pengorbanan orang lain dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negara khususnya di Sabah ini.
“Justeru, saya meminta agar semua pengundi khususnya di Segama ini dapat melihat sendiri selain menilai calon yang bertanding sebelum memilih wakil rakyat baharu,” katanya.
Sebelum ini, satu klip video tersebar berdurasi kira-kira seminit, memaparkan ucapan Mohamaddin yang mengeluarkan kata-kata tidak wajar berkaitan insiden pencerobohan Tanduo dalam satu majlis kempen Warisan dipercayai di Lahad Datu.
Beliau antara lain menyebut, pasukan keselamatan berperang dengan ayam dan anjing ketika operasi ketenteraan di Kampung Tanduo ketika insiden pencerobohan pengganas Sulu di kawasan itu pada 2013. – Malaysiapost

