MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengetepikan saman seorang peguam berhubung pengampunan diraja terhadap dirinya.
Hakim Akhtar Tahir membuat keputusan untuk menolak permohonan tersebut dalam prosiding terbuka pagi ini
Memetik laporan Suara Merdeka, pada 26 Februari lalu, peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz memfailkan saman bagi mencabar nasihat Lembaga Pegampunan kepada Yang di-Pertuan Agong berkaitan pengampunan kes liwat Anwar.
Mohd Khairul Azam mempersoalkan komposisi Lembaga Pengampunan ketika itu yang didakwa ditubuhkan secara salah dan tidak menepati keperluan undang-undang mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Pada 2 Jun lalu, Anwar memfailkan permohonan untuk membatalkan saman peguam Mohd Khairul Azam.

Ahli Parlimen Port Dickson memfailkan permohonan itu pada 13 Mei lalu, antara lain atas alasan Khairul Azam selaku plaintif tidak mempunyai locus standi atau kedudukan di sisi undang-undang untuk meneruskan tindakan saman itu, tuntutan saman plaintif remeh, mengaibkan serta suatu penyalahgunaan proses mahkamah.
Pada 16 Mei 2018, Anwar dibebaskan serta-merta selepas mendapat pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V.
Anwar sebelum itu menjalani hukuman lima tahun penjara pada Februari 2015 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalah atas sabitan meliwat bekas pembantunya. – Malaysiapost

