Mohamaddin Ketapi dakwa insiden Tanduo peperangan dengan ayam, anjing

0
1

Calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Mohamaddin Ketapi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama mendakwa insiden berdarah di Kampung Tanduo, di Lahad Datu hanyalah peperangan bersama ‘ayam’ dan ‘anjing’.

Dalam satu video ucapannya yang tular di media sosial, Mohamaddin mendakwa pada pilihan raya umum yang lalu, pihak lawan mendakwa Filipina menuntut Sabah.

“Jadi ada peperangan konon di Tanduo. Datanglah jet di Tanduo, dibomnya kelapa sawit orang.

“Habis hangus kelapa sawit orang, habis hangus rumah orang. Koyak rumah orang ditembak. Ini kenyataan.

“Habis itu, disuruh kereta kebal masuk di Kampung-kampung suruh berperang sama ayam. Siapa kawan dia berperang? Tiada. Ayam sama anjing di kampung kawan dia berperang,” katanya.

Mohamaddin turut mendakwa sewaktu dia menjadi wakil rakyat Lahad Datu pada 1986 dalam Parti Bersatu Sabah (PBS), beliau sering melawat kawasan Tungku dan melalui Tanjung Labian dengan adakalanya berjalan ketika waktu malam atau subuh.

“Ketika itu jalan teruk, hutan, tiada kita jumpa lanun dan Filipina yang mahu merampas Sabah.

“Tiada juga jumpa orang yang bawa senjata mahu berperang, tetapi apabila ketika itu (pilihanraya) UMNO akan kalah, terus ada perang di Tanduo.

“Banyak orang mati disebabkan sandiwara itu,” katanya.

Pada Februari 2013, lebih 200 pengikut Jamalul Kiram III yang mengaku Sultan Sulu, mendarat di Kampung Tanduo berhampiran Felda Sahabat di Lahad Datu atas alasan mahu menuntut Sabah.

Pasukan keselamatan kemudian melancarkan Ops Daulat yang menyaksikan 10 anggota keselamatan terbunuh, manakala berpuluh-puluh anggota pengganas mati. – Malaysiapost