
LANGKAH kerajaan meningkatkan usaha pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 bukan disebabkan bekalan vaksin sedia ada hampir tamat tarikh luputnya, tetapi mengikut jadual iaitu tiga hingga enam bulan daripada tarikh dos lengkap vaksinasi.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, berkata setakat ini baki bekalan vaksin Covid-19 yang Malaysia ada adalah hampir 6.5 juta dos.
Beliau berkata, dari segi tarikh luput pula setakat Januari ini tiada vaksin yang akan luput dan semuanya akan digunakan.
“Jadi bukanlah seolah-olah kerajaan ingin tergesa-gesa kerana tarikh luput vaksin, tetapi memang ikut jadual dan tiba masanya iaitu tiga hingga enam bulan.
“Ini adalah tempoh waktu yang diterima pakai diperingkat antarabangsa. Lainlah kalau Malaysia sahaja yang laksanakan pemberian dos penggalak untuk tempoh tiga bulan dan negara lain tidak melakukannya,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Menurutnya, sebahagian besar negara-negara lain juga telah memendekkan sela masa daripada enam bulan ke tiga bulan.
Sementara itu, menjawab soalan mengenai isu video tular seorang warga emas enggan menerima dos penggalak yang didakwa telah tamat tarikh luput beliau mengesahkan menerima laporan mengenai kes berkenaan.
“Kita akan keluarkan kenyataan mengenainya nanti dan ada alasan dan penjelasan mengenainya.
“Kita telah terima laporan tersebut dan sedang sediakan jawapannya..ada jawapannya,” katanya. – Malaysiapost
