JAIPk siasat ritual tolak banjir

0
2

SIASATAN dijalankan terhadap individu dikenali sebagai Raja Bomoh dan Puteri Zaleha berhubung satu ritual menolak banjir di Dataran JPS di Teluk Intan yang videonya tular di media sosial hari ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Datuk Mohd Yusop Husin, berkata pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 atas kesalahan mencela dan menghina agama Islam.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak terpengaruh dengan perkara-perkara seumpama ini dan menjauhi apa juga amalan yang menjurus kepada khurafat,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Terdahulu, video berdurasi 25 minit tular di media sosial memaparkan Raja Bomoh bersama Puteri Zaleha membuat ritual tepung tawar dipercayai untuk menolak kejadian banjir.

Mereka dilihat menggunakan bahan-bahan seperti beras, kunyit, bunga dan daun-daun kayu serta turut kelihatan di hadapan mereka ialah surah Yasin dan kitab suci al-Quran.

Lelaki yang memakai kot hitam, bertengkolok dan berselempang merah itu turut menyebut upacara yang dijalankan adalah upacara petua-petua di zaman dahulu.

“Kita minta semua tempat di Malaysia turun air, bukan kata di Teluk Intan sahaja, tapi seluruh Malaysia, seluruh kepulauan Melayu dan seluruh dunia,” katanya dalam rakaman video berkenaan.

Dalam rakaman itu, wanita terbabit juga didengar menyanyikan lagu ‘Mayang Sari’.

Menurut wanita terbabit mereka merafak sembah kepada sungai yang berada di Teluk Intan dan telah melaksanakan tanggungjawab dengan mengharapkan semua penduduk hidup aman damai. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here