Geng samun bersenjata di stesen minyak tumpas

0
1

POLIS berjaya menumpaskan kumpulan penjenayah yang giat menyamun menggunakan senjata di sekitar Lembah Klang dengan tertangkapnya lima suspek dalam dua serbuan berasingan.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata tangkapan itu susulan satu laporan polis berkaitan kes samum berkumpulan menggunakan senjata di sebuah stesen minyak di Jalan Kampung Batu, Kuala Lumpur pada 19 Disember lalu, jam 12.30 tengah hari.

Menurutnya, mangsa sedang mengisi petrol sebelum didatangi lelaki yang bertindak menarik rantai leher emasnya sambil mengacukan parang ke arah mangsa.

“Mangsa yang terkejut bertindak melarikan diri menyebabkan suspek gagal menarik rantai emas, namun berjaya melarikan dompet mangsa.

“Hasil siasatan awal polis mendapati suspek yang terlibat dipercayai seramai empat hingga lima orang yang menaiki kereta jenis Proton Wira,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, susulan itu sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul membuat beberapa serbuan berdasarkan hasil risikan yang dijalankan.

“Serbuan pertama dibuat pada 21 Disember lalu dan dua lelaki tempatan ditahan, manakala pada 28 Disember pula satu lagi serbuan dilakukan dengan menahan tiga lelaki tempatan bagi membantu siasatan.

“Kesemua suspek berusia antara 28 hingga 42 tahun dan polis berjaya merampas dua parang, kereta, tujuh telefon bimbit pelbagai jenama, dompet dan kad Touch N Go mangsa,” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati modus operandi kumpulan ini adalah melakukan samun bersenjata dengan mensasarkan mangsa yang menaiki kereta mewah serta memakai barangan kemas ketika mengisi minyak di stesen minyak.

“Kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau itu telah tamat reman oleh IPD Sentul dan kini diserahkan kepada IPD Sungai Buloh untuk siasatan lanjut bersabit kes di daerah itu pula.

“Susulan tangkapan kelima-lima suspek perkenan polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya tiga kes samun yang dilaporkan di Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here