SEPASANG suami isteri tampil secara terbuka menafikan tuduhan bahawa mereka terlibat merakam video yang tular dan menuduh seorang pemandu lori yang merempuh tiga buah kenderaan dalam keadaan mabuk.
Berdasarkan akaun TikTok @mubarakkhan1535 pasangan itu menafikan dakwaan bahawa mereka adalah perakam video tersebut, sebaliknya berkata mereka hanya berkongsi semula video kemalangan itu dari group WhatsApp.
Menurut suaminya, suara wanita dalam video itu bukan milik isterinya.
“Mengenai insiden gambar viral dari TikTok sebenarnya video itu dihantar dalam WhatsApp group, saya cuma upload sahaja, saya tak ada kena mengena dengan kemalangan itu dan kereta yang kena langgar itu bukan kereta saya.
“Encik boleh bandingkan suara isteri saya dengan suara dalam video tu, memang tak kena mengena,” katanya.
Pasangan berkenaan yang meminta maaf kepada ahli keluarga mangsa turut merayu orang ramai daripada berterusan mengecam mereka.
Terdahulu tular sebuah video yang menunjukkan seorang pemandu treler dalam keadaan tidak sedarkan diri di bahagian tempat duduk pemandu selepas terbabit kemalangan dan seorang wanita dalam nada marah menuduhnya mabuk ketika memandu.
“Awak mabuk ke? Awak tak nampak apa awak buat,” terjah wanita yang merakam video tersebu sebelum ia tular.
Lelaki itu, yang dikenali sebagai Pakcik Shukri bagaimanapun dikatakan terkena serangan jantung ketika memandu dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.
Susulan penyebaran video terbabit, orang awam mendesak wanita dalam video itu untuk tampil dan memohon maaf kepada keluarga mangsa. -Malaysiapost

