BEKAS Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Lim Teong Kim sedia menyahut cabaran untuk menggalas tanggungjawab sebagai pengendali skuad Harimau Malaya.
Bekas pemain kebangsaan yang sedang berkelana di Munich, Jerman sedia kembali ke Malaysia dan mencurahkan pengalamannya dengan skuad kebangsaan.
Malah, Teong Kim menjanjikan corak permainan Harimau Malaya akan bertukar menjadi lebih bertenaga selari dengan perkembangan bolasepak moden.
“Saya boleh janji kepada mereka bahawa cara permainan dan persembahan akan lebih baik lagi dari segi fizikal, dinamik, semangat untuk bersaing, nak menang dan lebih bertenaga. Adat permainan Eropah ini saya boleh janji,” katanya.
Bagaimanapun Teong Kim, 58, meletakkan pantang larang sebelum dia bersetuju berkhidmat dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengisi kekosongan yang ditinggalkan Tan Cheng Hoe itu.
“Kalau ada tawaran, apa salahnya selagi mengikut terma dan syarat-syarat saya. Selagi mengikut terma dan syarat-syarat saya, sudah tentu kita semua boleh bekerjasama.
“Dan saya juga boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja selagi mereka tidak mencampuri kerja saya,” katanya dipetik Cakap Sukan.
Menurut Teong Kim, sebagai bekas pemain kebangsaan, dia amat memahami situasi dalam skuad negara.
“Saya bermain untuk Malaysia selama 12 tahun dengan 85 kali penampilan. Pernah bersama dengan jurulatih Frank Lord (1983-1985), Jozef Venglos (1986-1987), Richard Bate (1988) dan Trevor Hartley (1989).
“Cuma tahun 1988 (Bate) saya dan beberapa pemain lain enggan bermain pada tahun ini kerana cara yang diterapkan oleh jurulatih tidak menggembirakan permainan kami. Jadi beberapa pemain berpengalaman digantung FAM selama dua tahun.
“Selepas itu dia meletak jawatan dan saya dipanggil kembali menyertai pasukan Malaysia dan kami berjaya meraih pingat emas Sukan SEA (1989) di bawah kendalian Hartley.
“Jadi sebab itu saya cakap, kalau saya dipanggil untuk bersama pasukan jurulatih Malaysia, ianya mestilah mengikut terma dan syarat-syarat saya kerana dari dulu sehingga sekarang saya faham isunya adalah sama. Dan situasi sekarang masih sama… sama ada sebagai bekas pemain atau pun jurulatih,” katanya. -Malaysiapost

