PROSES agihan Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 dilaporkan berjalan dengan pantas dan setakat ini, lebih 70 peratus ketua isi rumah telah menerima bantuan berkenaan
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata agihan bantuan kepada seluruh Keluarga Malaysia yang terjejas banjir dijangka selesai akhir minggu ini.
“Mangsa yang tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), tetapi berpindah ke rumah saudara mara, kawan-kawan dan sebagainya, diminta mendaftar di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) atau pegawai daerah, supaya bantuan segera dapat disalurkan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada barisan hadapan kita yang telah menjalankan tugas dengan baik. Saya mendoakan seluruh Keluarga Malaysia sentiasa dilindungi Allah SWT daripada segala bencana,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Sementara itu, beliau turut berpuas hati dengan pengoperasian di empat PPS mangsa banjir yang dilawati hari ini.
Terdahulu beliau melawat PPS Balai Raya Kampung Tandong, Segamat dan PPS Sekolah Agama Bandar, Tangkak di Johor dan PPS Sekolah Kebangsaan Gangsa, Durian Tunggal serta PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pengkalan, Alor Gajah, Melaka.
Dalam satu lagi hantaran, beliau memaklumkan sekali lagi bahawa kerajaan akan memberi bantuan tunai untuk baiki rumah mangsa yang terkesan akibat banjir.
“Sebanyak RM5,000 untuk kerosakan tidak serius. Bagi kerosakan teruk pula, kerajaan akan melantik kontraktor untuk setiap rumah, kerajaan akan berbelanja sehingga RM15,000 untuk meringankan beban mangsa banjir.
“Bagi rumah yang hanyut atau rosak teruk dan tidak boleh dibaiki, kerajaan akan bina baru dengan kos RM56,000,” katanya. – Malaysiapost

