Pemandu lori rempuh 3 kereta disahkan sakit jantung

0
3

POLIS menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kemalangan yang membabitkan sebuah Lori dengan tiga kenderaan di Jalan BRP 8/2, Sungai Buloh, seperti yang tular di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa’aton Abu Bakar, berkata pihaknya mengesan video berkenaan tular di media sosial, semalam memqparkan seorang lelaki terbabit kemalangan dengan tiga kereta.

Menurutnya, pemandu Lori terbabit dipercayai mengalami sakit dada sehingga menyebabkan kenderaan yang dipandu hilang kawalan lalu melanggar tiga kenderaan yang diparkir di bahu jalan.

“Pada jam 12.09 tengah hari semalam, pemandu lori tersebut telah meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh.

“Punca kematian adalah ‘Myocardial Infacrtion’ (serangan jantung),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh khususnya, menasihatkan orang ramai tidak membuat spekulasi mengenai kejadian bagi menghormati waris dan keluarga mangsa.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Terdahulu tular di media sosial video dirakam seorang wanita yang memaparkan seorang pemandu lori terbabit kemalangan.

Wanita terbabit merakam keadaan lelaki berkenaan yang masih berada tempat duduk bahagian pemandu dalam keadaan seperti sukar bernafas.

Turut kedengaran dalam rakaman terbabit suara wanita berkenaan yang mengandaikan pemandu lori berkenaan mabuk. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here