KPM perlu sedia pelan pemulihan jangka panjang pendidikan

0
3

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) didakwa masih lagi tidak membawa pelan menyeluruh pemulihan jangka masa panjang pendidikan yang bersepadu.

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik, berkata beliau sudah seringkali membawakan isu ‘generasi yang hilang’ atau generasi keciciran kepada media, termasuk di Dewan Rakyat dan pelbagai wacana berkaitan pendidikan susulan kesan Covid-19.

“Malangnya KPM sehingga kini masih lagi tidak membawa pelan menyeluruh pemulihan jangkamasa panjang pendidikan yang bersepadu.

“Menantikan mereka yang membisu tidak akan membawa kita ke mana,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata, pelbagai laporan badan antarabangsa menunjukkan mara bahaya yang akan dihadapi oleh negara-negara dunia akibat dari dampak wabak Covid-19.

“Perintah berkurung di serata dunia telah menyaksikan keciciran pelajaran dari kalangan anak-anak terutamanya dari keluarga yang miskin dan kurang kemampuan.

“Laporan-laporan itu juga menunjukkan bahawa jurang pendidikan di antara kelompok yang berada dan kelompok miskin semakin melebar,” katanya.

Justeru, Maszlee berkata, kesenjangan itu pastinya akan menatijahkan kesenjangan ekonomi, pemilikan dan juga peluang pekerjaan di masa hadapan.

“Jika ianya tidak ditangani segera, negara-negara membangun dan dunia ketiga akan menghadapi krisis ekonomi , politik dan pertembungan kelas dalam tempoh sepuluh tahun akan datang. Apakah persediaan kita?,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here