PERUNTUKAN sebanyak RM5 juta telah diluluskan untuk membina ban baharu di daerah Segamat, Johor bagi mengelak kejadian banjir di masa hadapan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga diminta menyediakan pelan jangka panjang untuk mengelak banjir di daerah itu.
“Segamat adalah daerah yang paling teruk dilanda banjir. Sebanyak 52 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka di daerah ini yang menempatkan 1,093 keluarga serta 4,016 mangsa.
“Saya telah diberi taklimat oleh JPS yang memerlukan peruntukan untuk membina ban baharu bagi mengelakkan banjir di masa depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ismail Sabri berkata, bagi memastikan pengurusan banjir di Johor berjalan lancar, beliau membuat tinjauan di Balai Raya Kampung Tandong, Buloh Kasap, iaitu PPS yang menempatkan 117 mangsa daripada 26 keluarga sejak Ahad lalu.
Beliau turut menyampaikan bantuan wang tunai sebanyak RM1,500 kepada 26 ketua isi rumah yang terlibat.
“Bantuan melibatkan RM1,000 dari Bantuan Wang Ihsan (BWI) dan RM500 dari Kerajaan Johor. BWI harus disalurkan segera, kalau boleh sebelum mangsa pulang ke rumah masing-masing,” katanya.
Keadaan banjir di Johor semakin teruk apabila jumlah mangsa banjir yang terpaksa dipindahkan ke PPS terus meningkat kepada seramai 5,479 orang, pagi tadi.
Daerah yang terjejas akibat banjir di negeri itu ketika ini adalah Segamat, Tangkak, Kota Tinggi, Mersing, Kluang, Muar dan Batu Pahat.
Segamat kekal daerah paling teruk terjejas akibat banjir dengan seramai 4,016 mangsa direkodkan, diikuti Mersing (548 mangsa), Tangkak (434 mangsa) dan Kota Tinggi (210 mangsa). – Malaysiapost

