
AMARAN hujan berterusan tahap bahaya dan waspada di lima negeri di Semenanjung iaitu Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor telah ditamatkan.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata amaran hujan berterusan yang dikeluarkan sejak tengah hari semalam, ditamatkan jam 1 tengah hari tadi.
Sehubungan itu katanya, keadaan cuaca di lima negeri berkenaan dijangka akan bertambah baik.
“Amaran hujan berterusan dikeluarkan pada jam 1.10 tengah hari, 3 Januari 2022 untuk negeri tersebut dengan ini ditamatkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Muhammad Helmi bagaimanapun berkata pihaknya masih mengekalkan amaran hujan berterusan peringkat waspada di Kudat serta beberapa kawasan di Sandakan, Sabah sepanjang hari ini.
Amaran peringkat waspada bermakna hujan berterusan dijangka berlaku dalam tempoh satu hingga tiga hari atau hujan berterusan atau ribut petir sedang berlaku tetapi belum mencapai peringkat buruk.
Menurutnya, amaran hujan berterusan (waspada) masih berkuat kuasa sehingga 4 Januari bagi Sabah melibatkan kawasan Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan); serta Kudat. – Malaysiapost
