KELUARGA wanita yang nyaris maut apabila kereta dipandunya dihempap batu konkrit berhampiran Bandar Tasik Selatan di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) semalam, belum memikirkan soal mengambil tindakan undang-undang.
Adik mangsa, Wan Aziqa Hanen Wan Maliki, 24, berkata ketika ini keutamaan keluarganya hanya mahu melihat mangsa, Wan Aqila Hanen, 25, kembali sembuh.
“Kami sekeluarga tidak memikirkan soal saman atau tindakan undang-undang terhadap pihak berkaitan, sebaliknya memohon doa orang ramai supaya Wan Aqila cepat sembuh,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Menurut Wan Aqila, mereka sekeluarga bersyukur kakaknya terselamat dalam kejadian itu walaupun kereta rosak teruk.
“Kakak dibenarkan keluar hospital hari ini, selepas keadaannya semakin baik. Kami sekeluarga juga bercadang untuk meneruskan rawatannya di hospital swasta.
“Kami juga ada bertanya kepada kakak bagaimana kejadian itu berlaku, namun dia sendiri tidak pasti dan hanya sedar apabila ada orang datang membantunya keluar dari kereta,” katanya yang turut memaklumkan mangsa disahkan patah tangan kiri dan tulang selangka.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang semalam, kereta Proton Saga FLX dipandu mangsa remuk teruk pada bahagian bumbung akibat ditimpa kepingan konkrit dianggarkan bersaiz satu meter persegi. – Malaysiapost

