3 ditahan ingkar PKPD Kota Setar

0
2
polis_pkp_kota_setar

TIGA lelaki ditahan polis dan 179 kompaun dikeluarkan terhadap mereka yang didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Temco) di Kota Setar sehingga hari kesembilan, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar Superintendan Mohd Redzuan Salleh, berkata tangkapan itu membabitkan tiga lelaki berusia 30-an yang didapati keluar dari kawasan PKPD Kota Setar.

Beliau berkata, ketiga-tiga tangkapan itu memberi alasan tidak munasabah dan ditahan untuk tindakan lanjut.

“Mereka didapati cuba keluar dari daerah ini tanpa mempunyai surat kebenaran pihak polis.

“Sembilan sekatan jalan raya (SJR) masih dikekalkan dan 10 laluan ditutup setakat ini,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Mohd Redzuan berkata, hanya berbaki enam hari lagi PKPD akan tamat dan pihaknya berharap penduduk di daerah itu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

“Selain itu, sebarang pergerakan tidak penting yang boleh ditunda perlu ditangguhkan dulu buat sementara waktu sehingga kes penularan Covid-19 di daerah ini.

“Penduduk diharap dapat duduk di rumah sepanjang PKPD ini bagi mengelak penularan wabak Covid-19 berterusan,” katanya.

PKPD Temco dilaksanakan di daerah Kota Setar selama 14 hari bermula 11 September lalu hingga 25 September berikutan penularan kes Covid-19 membabitkan Kluster Telaga dan Kluster Sungai. -Malaysiapost