Muhammad Mustakim Ramli
KES baharu Covid-19 meningkat semula dengan 52 kes merangkumi 40 kes tempatan dan 12 kes import, hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada 40 kes tempatan itu, 26 daripadanya membabitkan warga tempatan iaitu 22 kes di Sabah, Kedah (tiga) dan Pulau Pinang (satu).
Katanya, situasi terkini Covid-19 menyaksikan satu kluster baharu telah dilaporkan di Pulau Pinang iaitu Kluster Ara.
“Kes indeks kluster ini adalah seorang lelaki tempatan berumur 44 tahun (iaitu kes ke-10024) iaitu dikesan positif melalui saringan di pintu Masuk Antarabangsa (PMA) Sandakan, Sabah pada 15 September lalu.
“Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan satu kes positif dikenal pasti iaitu kes ke-10,217 juga anak saudaranya. Kes dikesan positif pada 19 September dan telah dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan.
“Sehingga tengah hari tadi, sejumlah 16 individu telah disaring. Keputusan saringan mendapati dua dikesan positif dan 14 dikesan negatif,” katanya.
Sementara itu, Noor Hisham berkata, sebanyak 40 kes sembuh baharu direkodkan hari ini dengan jumlah keseluruhan kes sembuh ketika ini adalah 9,335.
”Sehingga kini, terdapat 10 kes positif Covid- 19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana dua kes memerlukan bantuan pernafasan. -Malaysiapost

