PERSATUAN Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berharap Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) membenarkan pengambilan pemain import bagi memeriahkan lagi saingan Liga Sepak Takraw League (STL 2021/22).
Presidennya, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata walaupun Kuala Lumpur Thunder tidak mengambil pemain import, beliau tetap menyokong kehadiran pemain import bagi mewarnai saingan liga tahun ini setelah tidak beraksi tahun lalu akibat Covid-19.
“Saya menghormati ASTAF selaku badan induk sepak takraw Asia dan sentiasa memberi sokongan dalam memajukan sukan ini di rantau Asia khususnya.
“Saya berharap dan berdoa kemelut Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dan ASTAF dapat ditamatkan segera supaya membuka lembaran baharu sepak takraw di negara kita dan antarabangsa.
“Sekali lagi saya memohon jasa baik ASTAF untuk memberi kebenaran pemain import bermain STL 2021/22 agar kejohanan yang sangat berprestij ini dapat mencapai objektif dan tujuannya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mohd Sumali berkata, Ahli-Ahli Majlis PSM yang bermesyuarat pada 29 DIsember 2021 telah sebulat suara memberi sokongan dan bersetuju untuk meneruskan STL 2021/22.
STL 2021/22 akan membuka tirai pada 7 Januari ini dan akan berakhir pada 26 Mac 2022 di Kuala Lumpur, Kelantan, Pulau Pinang, Perak dan berakhir di Johor bagi saingan Champions Cup.
Tahun ini, Astro yang juga rakan strategik PSM memaklumkan, siaran langsung STL akan ditayangkan di enam negara iaitu Thailand, Singapura, Vietnam, Filipina, Indonesia dan Hong Kong. – Malaysiapost

