Mangsa banjir lega, namun rakyat terjejas Covid-19, PKP panjang masih terkesan 

0
1

Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri 

SAYA menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berhubung pelbagai bantuan untuk sebilangan mangsa banjir di seluruh negara semalam. 

Namun begitu, tidak juga dapat dinafikan bahawa cadangan pengeluaran i-Citra RM10,000 masih terus hangat diperkatakan oleh rakyat, pada hari pertama tahun baru ini. 

Saya melihat, permintaan ini dari awalnya bukan hanya terhad oleh mangsa banjir sahaja, bahkan dituntut sebelum musibah banjir lagi. Desakan ini kerana kami menyedari ramai yang terkesan akibat pandemik luar biasa Covid-19 dan kesan PKP yang berpanjangan (negara paling lama menguatkuasakan lockdown), sekali gus mengakibatkan ramai hilang punca pendapatan, terbelenggu dengan hutang dan komitmen tertunggak. 

Ramai yang melihat Perdana Menteri mengikut telunjuk parti PPBM apabila beliau tidak meluluskan cadangan ini. Dalam diam, kami melihat, PPBM menggunakan peluang ini untuk menghentam beliau dan Umno, sebaliknya mereka cuba menaikkan imej Tan Sri Muhyiddin Yassin kononnya berani mengarahkan KWSP untuk membuat beberapa pengeluaran simpanan rakyat sebelum ini. 

Saya berpandangan, menaikkan jumlah pengeluaran i-Citra sebanyak RM10,000 ini memberi kesan yang kecil jika dibandingkan dengan pengeluaran i-Sinar yang mencecah maksima RM60,000. Malahan, dana yang dikeluarkan ini boleh digantikan semula melalui pelbagai kaedah seperti yang pernah dicadangkan oleh mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. 

Mengambil contoh seorang pekerja bergaji RM2,000 sebulan, jumlah caruman bulanan KWSP beliau adalah RM460 sebulan (11% pekerja + 12% majikan) dan bernilai RM5,520 (RM460 x 12) untuk setahun. Malah, tambahan pengeluaran RM5,000 hanya bernilai RM12,931 dalam tempoh 25 tahun dengan kadar dividen terkumpul 5% setahun. 

Sebenarnya tuntutan pengeluaran ini telah lama dibuat malahan sebelum Datuk Seri Ismail Sabri menjadi PM lagi. Cuma musibah banjir tahun ini menjadikan tuntutan ini lebih relevan. Saya difahamkan bahawa cadangan ini telah pun dibawa ke pengetahuan Jemaah Menteri oleh Datuk Seri Ismail Sabri, namun ianya telah ditolak oleh Menteri Kewangan bersama beberapa Menteri dari PPBM termasuklah beberapa Menteri Umno yang ‘mesra PPBM’. 

Secara tidak langsung, PPBM dilihat ‘berjaya’ mensabotaj kedudukan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai PM dan Naib Presiden UMNO. 

Pada hemat saya, kerajaan sepatutnya mempercayai rakyatnya sendiri dalam bagaimana mereka mahu membelanjakan simpanan mereka dengan meluluskan tuntutan ini dengan SEGERA, atau PPBM akan terus dilihat BOLEH melaksanakan dasar ini dan PM dari Umno pula akan dianggap tidak berkebolehan untuk melaksanakannya walaupun sebenarnya boleh melaksanakannya. 

Ditegaskan bahawa gesaan berteraskan denyut nadi hidup rakyat ini adalah komitmen jelas Pergerakan Pemuda Umno Malaysia untuk warga Malaysia yang masih terjejas hidupnya untuk kembali membina kehidupan mereka, sejajar keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno pada 27 Ogos 2021 yang lalu. Ia bukan sama sekali bermotif politik populis, jauh sekali bersifat “menghasut’ seperti selaran Menteri Kewangan. 

Penulis ialah Pengarah Komunikasi Pemuda Umno

(Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis, tidak semestinya menggambarkan pendirian Malaysiapost)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here