Isteri maut, suami cedera terbabit kemalangan di LPT 2

0
2

SEORANG wanita maut manakala suami dan dua anak saudaranya cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terbabit dalam nahas di Kilometer (KM) 392.2 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) arah Ajil menghala ke Bukit Besi, Terengganu hari ini.

Norbibi Arisysa Ab Latif, 26, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala suaminya Nasir Mamat, 32, patah bahu kiri dan Mohamad Danish Iskandar Mohd Darus, 8, dan adiknya, Mohamad Danish Idlan,4, cedera ringan.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, kesemuanya dalam perjalanan dari rumah mereka di Kampung Maras, Batu Rakit, Kuala Nerus ke rumah saudara di Cheneh, Kemaman.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata kenderaan jenis Honda Jazz dipandu Nasir dikatakan melanggar lopak air, menyebabkan kenderaan terbabit gagal dikawal lalu terbabas sebelum melanggar besi penghadang jalan kanan arah Bukit Besi.

“Kejadian menyebabkan isterinya yang duduk di hadapan meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan parah.

“Kejadian turut menyebabkan bahagian hadapan kereta mangsa remuk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Adli berkata mayat Norbibi Arisya dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu (HHT) untuk bedah siasat manakala mangsa cedera turut dirawat di hospital sama.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ )1987,” katanya.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here