SEBANYAK tujuh kes baharu positif Covid-19 dikesan dalam kalangan mangsa banjir sehingga jam 3 petang hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata angka itu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 dalam kalangan mangsa banjir adalah 451 kes.
Bagaimanapun, katanya tiada pertambahan kluster baharu yang dilaporkan dalam kalangan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS).
Selain itu, menurutnya, sebanyak tujuh kes penyakit berjangkit dilaporkan dalam kalangan mangsa banjir hari ini.
“Ia melibatkan jangkitan saluran pernafasan akut (4 kes), penyakit kulit (2 kes), dan acute gastroenteritis (1 kes),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, sehingga kini sebanyak 86 PPS masih beroperasi iaitu Pahang (41), Johor (19), Negeri Sembilan (10), masing-masing lima di Kelantan dan Melaka, Terengganu (empat) serta Sabah (dua).
“Jumlah mangsa terjejas banjir seramai 5,753 orang,” katanya. – Malaysiapost

